Type Here to Get Search Results !

 


BIOGRAFI IBN ABDUL HADI


Al-Muharrar fi al-Hadits

Kitab al-Muharrar fi al-Hadits (الـمـحـرر في الـحـديـث  )  adalah karya al-Hafizh Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi, yang lebih dikenali dengan Ibn Abdul Hadi (705-744 H)

Beliau adalah seorang ulama yang berpengalaman walau umurnya tidaklah panjang, iaitu lebih kurang 40 tahun. Beliau terkenal sebagai penganalisa yang hebat, ulama yang manpan dalam ilmunya, cerdas, dan memiliki fiqh yang bagus.

Di antara barisan guru-guru beliau yang utama adalah dari kalangan ulama hebat seperti Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (728H), al-Hafiz al-Mizzi (742H), dan al-Hafiz al-Dzahabi (748H).

Kata Imam al-Dzahabi yang juga guru beliau: 

“Imam Ibn ‘Abdil Hadi adalah seorang ulama yang tiada duanya, seorang hafiz (penghafal hadis) yang luas ilmunya, penganalisa para rawi hadis, memahami ‘illat (cacat-cacat) dalam periwayatan hadis, seorang yang mahir, suka menghimpun dan mengambil faedah, sibuk menghabiskan waktunya untuk menela’ah, mengkaji hadis, mendalami fiqh, ushul fiqh, dan ilmu nahwu. Bahkan beliau memiliki ilmu yang luas dan pemikiran yang genius.” (al-Dzahabi, Tazdzkirah al-Huffaz, 4/201-202)

Kata salah seorang ulama segenerasi dengan beliau, al-Hafizh Ibnu Katsir r.h (774H):  

“Ibn ‘Abdil Hadi adalah seorang imam yang mulia, banyak ilmunya, pintar, manpan dalam pelbagai disiplin ilmu. Beliau bahkan telah memperolehi banyak sekali ilmu yang belum mampu digapai oleh para ulama terkemuka. Beliau mahir dalam ilmu hadis, nahwu, shorof, fiqh, tafsir, ushul fiqh, tarikh (sejarah), dan qira’at. Beliau juga memiliki banyak karya tulis dan catatan yang mengandungi faedah yang melimpah. Beliau mampu menghafal nama-nama perawi hadis dengan baik, menguasai selok-belok sanad hadis, menguasai ilmu al-Jarhu wa al-Ta’dil dan ‘illat (cacat-cacat) hadis, faqih, bagus hafalannya, dan fikirannya lurus.” (Ibn. Katsir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 18/467)

Kata Ibnu Katsir lagi, “Beliau memiliki pemahaman yang benar, teguh di atas jalan salaf, mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah, serta banyak amal kebaikannya.” (Ibn. Katsir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 18/467)

al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah (795H) berkata, “Ibn ‘Abdil Hadi telah menggoreskan tintanya dengan hasil tulisan yang bagus, teliti, dan banyak. Beliau juga telah menyusun pelbagai karya tulis, sebahagiannya telah tersusun lengkap sempurna, manakala sebahagian lagi belum sempat disiapkan kerana terhalang oleh kematiannya di usia yang cukup muda pada umur 40 tahun.”

Ketika hari kewafatannya, al-Hafiz al-Dzahabi menangisinya seraya berkata, “Tidaklah aku berkumpul bersama dengannya melainkan pasti aku mengambil faedah (ilmu) daripadanya, semoga Allah merahmatinya.” (Tadzkiratul Huffaz, 5/32)

Pengenalan Ringkas Kitab al-Muharrar karya Imam Ibn ‘Abdil Hadi.

Kitab ini berjudul al-Muharrar fi al-Ahkam, manakala sebahagian lagi menyatakan judulnya adalah, al-Muharrar fi al-Hadiits. Ia juga ada digabungkan perkataan hadits dan ahkam menjadi al-Muharrar fi Ahadits al-Ahkam. Dikenal dengan sebutan “al-Muharrar” oleh para ulama yang menulis biografi beliau seperti al-Hafizh Ibnu Rajab, al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, al-Suyuthi, dan al-Syawkani rahimahumullaah.

Kitab ini adalah sebuah kitab fiqh hadis yang mudah dan ringkas. Methodenya santai, dan mudah dituai faedahnya oleh pelbagai lapisan masyarakat, baik dari kalangan awam, penuntut ilmu, apatah lagi para ulama. Ada ulama menyebutkan kitab al-Muharrar ini merupakan ringkasan dari kitab al-Ilmam karya Ibnu  al-Daqiq al-‘Iyd

Penulis menyusun kitab-kitab, bab-bab, dan hadis-hadisnya sesuai dengan urutan fiqh untuk memudahkan para pembaca ketika membuat telahan, penelitian, dan semakkan. Penulis menjelaskan kedudukan hadis-hadisnya sama ada sahih, hasan, atau dha’if dengan ketetapan para ulama yang kredibel. Dan adakalanya beliau membahasnya secara ilmiah. Penulis menyebutkan ‘illat hadis jika ada berserta masalah sanadnya jika perlu.

Hadis-hadis yang penulis himpun dan bahaskan dalam kitab ini berasal dari perbendaharaan kitab-kitab hadis yang masyhur seperti Musnad Ahmad, al-Shahihain (al-Bukhari dan Muslim), kitab-kitab Sunan yang empat, Shahih Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban,al-Mustadrak karya al-Hakim, al-Sunan al-Kubra oleh al-Nasaa’i, dan al-Baihaqi, serta yang lainnya.

Dan ini ditegaskan sendiri oleh penulis (Imam Ibn ‘Abdil Hadi) pada mukaddimahnya. Kebanyakan bab diawali dengan hadis yang terdapat dalam al-Shahihain atau salah satu dari keduanya, kemudian diikuti dengan hadis-hadis yang terdapat dalam al-Sunan atau selainnya, agar hadis-hadis sahih tersebut menjadi pedoman utama dalam sesebuah bab, manakala hadis-hadis yang lainnya bersifat sebagai pendukung dan pelengkap. Penulis menyebutkan hadis-hadis sahih bagi setiap permasalahan, apabila ternyata tidak didapati hal tersebut, maka penulis mengambil dalil dari atsar (riwayat atau fatwa-fatwa dari kalangan sahabat). Apabila ada hadis yang memiliki riwayat yang lain atau penguat maka penulis akan memberi isyarat secara langsung atau tidak langsung. Dengan begini, maka banyak sekali faedah yang terhimpun di dalamnya.

Sebagaimana kitab-kitab fiqh dan hadis secara umum, kitab ini dimulakan dengan perbahasan tentang thaharah seperti bab: air, bejana, siwak, mandi, wudhu’, tayammum, hadats, haidh, dan lainnya. Kemudian bab solat, bab jenazah, zakat, haji, buruan dan sembelihan, makanan dan minuman, nadzar, jual-beli, rampasan dan syuf’ah, fara’id dan wala’, memerdekakan hamba, kitab nikah, thalaq, ila’ dan zhihar, sumpah, li’an, ‘iddah, radha’ (penyusuan), hadhonah (asuhan anak-anak), kitab nafkah, hutang, diyat, hukum had/hudud, ta’dzir, qadha’ (perundangan dan kehakiman), persaksian, jami’, dan diakhiri atau ditutup dengan kitab (perbahasan) tentang perubatan (al-Thib).

Disebabkan methode himpunan hadis-hadisnya yang memiliki kemanfaatan yang besar, Universiti Islam di Madinah telah menetapkannya sebagai teks atau matan hadis yang perlu dihafal oleh para pelajarnya. Demikian juga Syaikh al-Albani rahimahullah (1420H) yang merupakan tokoh hadis kontemporari, beliau turut mewasiatkan agar para penuntut ilmu menghafalkannya. 

Kitab al-Muharrar telah diterbitkan….

    Cetakan dengan tahqiq Syeikh Abdul Mannaan Abdul Lathif al-Madani seorang peneliti di Markas Bin Baaz untuk penelitian Islam (Markaz al-‘Alamah bin Baaz Li al-Dirasaat al-Islamiyah) di Jami’ah Ibn Taimiyah di India. Beliau telah berbicara tentang karakteristik dan manhaj penulis kitab ini dalam Muqadimah beliau dalam tahqiq kitab ini. Kitab ini dicetak markaz dan diterbitkan Daar al-Daa’i. Kitab ini dicetak pada Rabi’ al-Awal tahun 1422 H. dalam dua jilid di bawah pengawasan Dr. Muhammad Luqmaan al-Salafi. Jumlah halamannya 920 halaman dengan jumlah hadits 1320 hadits. Keistimewaan cetakan ini adalah adanya keterangan faidah dan komentar ilmiyah terhadap hadits-hadits tersebut yang diambil pentahqiq dari kitab-kitab syarah hadits yang terkenal seperti al-Minhaaj (Syarah shahih Muslim) karya imam al-Nawawi, al-Ikmaal karya al-Aabi, Fathu al-Baari, ‘Aun al-Ma’bud, Tuhfat al-Ahwadzi, Subul al-Salam dan Taudhih al-Ahkam serta kitab lainnya dari karya-karya para ulama lainnya. Beliau namakan komentar-komentar beliau ini dengan ‘Aun al-Mughits Fi Syarhi al-Muharrar fi al-Hadits.

     2.    Cetakan dengan tahqiq Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Muzaini al-Maaliki.

    Cetakan Syeikh Dr. Yusuf Abdur Rahman al-Mar’asyli dan Muhammad Salim Samaarah serta Jamaal Hamdi al-Dzahabi dan di cetak di Daar al-Ma’rifah, Libanon tahun 1421 H dalam satu jilid tebal jumlah halamannya dengan indek 848 halaman.

Cetakan Syeikh Saliem bin ‘Ied al-Hilaali dicetak tahun 1425 H di Daar Ibnu Hazm di Libenon dalam tiga jilid ditahqiq dengan membandingkan lima manuskrip.

Sumber: http://abusyahmin.blogspot.com/